MENGEMBIRAKAN ORANG ISLAM DAN MENGHILANGKAN KESUSAHANNYA

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya (ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.” Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya

Kredit foto: M Syafii

Huraian

i) Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

ii) Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.

iii) Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.

iv) Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu. Bak kata pepatah Melayu “ Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.

v) Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

http://rahsiarezeki.wordpress.com

Petikan dari buku Rahsia Rezeki

http://www.rahsiarezeki.com

 

 

Rahsia Rezeki: Rahsia Memperolehi Rezeki Melimpah Ruah dan Diberkati

Rahsia Rezeki: Rahsia Memperolehi Rezeki Melimpah Ruah dan Diberkati               

Bab 12. Menghubungkan silaturrahim.

 

Menghubungkan silaturrahim merupakan antara perkara atau amalan yang boleh meningkatkan rezeki. Sabda Rasulullah s.a.w. “Siapa yang ingin rezekinya dilapangkan dan usianya dipanjangkan, maka peliharalah hubungan silaturrahim.” (H.R. Imam Bukhari dari Abu Hurairah.)

Dalam hadis lain, Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa bertakwa kepada Tuhannya dan menyambung silaturrahim, nescaya dipanjangkan umurnya dan dibanyakkan rezekinya dan dicintai oleh keluarganya.” (H.R. Imam Al-Bukhari dari Abdullah bin Umar.)

Orang yang selalu menolong saudaranya akan ditolong oleh Allah. Rasulullah telah bersabda bahawa: “Allah selalu menolong seorang hamba selagi hamba tersebut di dalam menolong saudaranya.”

Begitulah besarnya kesan bersilaturrahim kepada penambahan rezeki, maka oleh yang demikian, jika kita ingin rezeki kita dilapangkan maka peliharalah atau jagalah hubungan silaturrahim.

Bagaimana ingin bersilaturrahim?

Yang menjadi persoalannya ialah bagaimana kefahaman kita terhadap erti silaturrahim?

Kita sering memahami secara umum bahawa silaturrahim bererti mengwujudkan hubungan kekeluargaan atau melalui perkahwinan sahaja. Sebenarnya erti itu terlalu sempit. Apa yang dimaksudkan dengan silaturrahim ialah memberikan apa sahaja yang mungkin diberikan dalam bentuk kebaikan dan menolak sebarang bentuk keburukan (kepada kerabat terdekat) baik melalui harta, perbuatan, tingkah laku atau selainnya.

Imam Ibnu Abu Jamrah berkata: “Silaturrhim itu boleh dengan harta, dengan memberikan keperluan mereka, dengan menolak keburukan dari mereka, dengan wajah yang berseri-seri serta dengan doa.”

Lakukanlah apa sahaja kebaikan sama ada menghubungi saudara mara anda, membantu mereka yang sangat memerlukan anda dari segi harta benda atau khidmat pertolongan anda terutamanya yang berada dalam kesusahan termasuk doa.

Tetapi berhati-hatilah dengan ahli maksiat, kerana Allah berfirman: “Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang itu bapa-bapa atau anak-anak atau saudara-saudara atau pun keluarga mereka.” (Al-Mujadalah: 22)

www.rahsiarezeki.com

www.mybrilliante.wordpress.com

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 4,951 other followers

%d bloggers like this: