Keperluan Zakat Perniagaan

Zakat membawa kepada bersih dan suburnya harta kita. Berikut ini Dipetik maklumat tentang zakat perniagaan dari e-zakat (MAIS)

 

ZAKAT PERNIAGAAN 


Apakah pengertian zakat perniagaan? 

Zakat perniagaan ialah harta perniagaan yang berdasarkan kepada syarak sama ada berbentuk   barangan atau perkhidmatan.

Adakah benar zakat perniagaan mempunyai syarat-syaratnya tersendiri dan bukannya terhad kepada lima syarat wajib zakat yang biasa? 

Syarat umum wajib zakat ada lima iaitu Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haul. Namun dalam satu-satu jenis zakat kadangkala terdapat syarat wajib ditambah dan begitu juga dengan zakat perniagaan. Oleh itu seorang peniaga diwajibkan membayar zakat perniagaan apabila memenuhi syarat-syarat berikut:

(i)      Islam

(ii)     Merdeka

(iii)    Modal perniagaan yang halal dan begitu juga aktivitinya

(iv)    Genap haul yang dikira dari tarikh perniagaan dimulakan hingga genap setahun perniagaan

(v)     Cukup nisab pada akhir haul (tahun)

(vi)    Menjalankan perniagaan

(vii)   Milik sempurna dan boleh melakukan tasarruf[1]

(viii)   Niat (bermaksud) untuk berniaga

Apakah dalil wajib zakat perniagaan? 

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

(Surah al-Baqarah ayat 267)

Hadis Nabi S.A.W. sebagaimana dinyatakan oleh Samurah R.A. yang bermaksud:

Maka sesungguhnya, Rasulullah S.A.W. menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada harta yang kami sediakan untuk dijual…”

(Riwayat Abu Daud)

Apakah dalil wajib zakat perniagaan bagi syarikat? 

Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:

“Dan tidak boleh dicampur ternakan yang telah terpisah. Begitu juga tidak boleh dipisah-pisahkan ternakan yang telah bercampur disebabkan takut mengeluarkan zakat. Adapun bagi dua orang yang bercampur ternakannya, hendaklah di selesaikan (zakat) berdasarkan nisbah.

(Riwayat al-Bukhari)

Dalil tersebut menunjukkan bahawa semua jenis perniagaan orang Islam wajib dikeluarkan zakat apabila cukup syarat-syaratnya.

Terdapat pelbagai jenis pemilikan perniagaan yang bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pengeluaran dan pengagihan barang-barang dan perkhidmatan iaitu
(i)                 Perniagaan persendirian (tunggal)

(ii)               Perniagaan secara perkongsian

(iii)              Perniagaan syarikat

(iv)             Koperasi

Bagaimanakah kaedah pengiraan zakat perniagaan? 

Terdapat 2 kaedah yang boleh digunakan iaitu:

i) Kaedah Modal Berkembang (Growth Capital)

Ia mengambil kira ekuiti pemilik entiti perniagaan tersebut, sumber-sumber pembiayaan kewangan dan dibuat pelarasan sama ada dicampur atau sebaliknya. Dalam istilah yang lebih ringkas ialah modal dicampurkan dengan keuntungan.

Ekuiti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang – Aset Tetap – Aset Bukan Semasa + /- Pelarasan = Harga Perniagaan Yang Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat

ii) Kaedah Model Modal Kerja (Working Capital)

Ia mengambil kira kedudukan harta semasa perniagaan, ditolak dengan tanggungan semasa perniagaan dan dibuat pelarasan dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan zakat yang perlu diambil kira. Pelarasan ini dibuat sama ada dengan mencampurkan item-item yang telah dikenal pasti perlu ditambah atau membuat tolakan.

Aset Semasa – Liabiliti Semasa +/- Pelarasan = Harga Perniagaan Yang Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat

Adakah harus bagi seseorang peniaga mengeluarkan zakat dengan menggunakan zat barang perniagaan atau dengan mata wang? 

Harus kedua-duanya. Tetapi digalakkan menggunakan mata wang. Ini adalah berdasarkan Riwayat Saiyidina Umar bin al-Khattab r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. berkata kepada al-Hammas yang bermaksud:

“Keluarkanlah zakat hartamu.” Hammas menjawab : Aku hanya memiliki beberapa guni kulit.” Baginda menjawab: “Kirakan nilainya kemudian keluarkanlah zakat (dari barangan tersebut). Zakat juga harus dikeluarkan dalam bentuk barangan (mata benda) dari jenis harta yang diperniagakan.”

(Riwayat Imam Ahmad)

 

Apakah perbezaan antara cukai korporat dan zakat? 

Zakat telah ditentukan kewajipannya oleh Allah S.W.T. sedangkan cukai ditentukan oleh pemerintah (kerajaan).

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 4,972 other followers

%d bloggers like this: